Ahad, 9 April 2017

Strok Haba

PELUH mula membasahi baju wanita itu yang berniaga menjual kuih-muih di gerainya tatkala terik mentari memancar. Walaupun cuaca panas dengan suhu mencecah 36 darjah Celsius, tidak menghalangnya untuk meneruskan rutin harian melayan pelanggan yang ingin membeli kuih-muihnya. Ada pelanggan gerai tersebut yang mengusap peluh di dahi, ada pula yang membeli sambil memegang payung dan ada yang segera berteduh di bawah pokok selepas selesai membeli kuih.

Malaysia kini berdepan dengan fenomena El Nino yang menyebabkan ancaman gelombang haba. Fenomena tersebut mengakibatkan komplikasi kepada sistem badan manusia jika terdedah kepada sinaran matahari pada suatu tempoh.

Sementara itu, negara dikejutkan dengan berita kematian perajurit muda yang sedang menjalani latihan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusada) Port Dickson, Negeri Sembilan, Muhammad Aizat Hamzah, 23, meninggal dunia baru-baru ini selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di Port Dickson, Negeri Sembilan akibat strok haba. Arwah difahamkan pengsan secara tiba-tiba ketika sedang melakukan latihan kawad kaki sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurut Pakar Perubatan Hospital Pakar KPJ Johor, Datuk Dr. M Singaraveloo, strok haba berlaku apabila kita terdedah kepada cuaca panas secara berterusan. Ini akan menyebabkan kita mengalami kenaikan suhu mendadak selain turut mengalami kegagalan berpeluh. Suhu badan normal manusia ialah 370 celsius, strok haba akan mula menyerang apabila suhu badan melebihi 40.50 celsius atau lebih.

“Jika kita berada di bawah cuaca panas yang melampau, ini akan menyebabkan tubuh badan kita mengalami penyahidratan. Kekurangan air dalam tubuh badan boleh menyebabkan seseorang terkena komplikasi dehidrasi kritikal dan jika tidak mendapatkan rawatan awal seseorang boleh mengalami komplikasi saraf dalam otak, organ dalam badan, koma dan menyebabkan kematian.

“Bagi individu yang tidak biasa terdedah kepada cuaca panas matahari, risiko untuk mengalami strok haba lebih tinggi berbanding dengan mereka yang biasa bekerja di tempat terbuka. Kumpulan yang berisiko ialah kanak-kanak, warga emas yang berusia 65 tahun ke atas dan penghidap penyakit kronik,” katanya.


Dr. M Singaraveloo menjelaskan, tanda-tanda awal strok boleh dikesan dengan paras suhu badan yang tinggi melebihi 400 celcius selain simptom-simptom seperti loya dan muntah, sakit kepala, denyutan nadi menjadi pantas, kulit menjadi kering serta kemerahan dan kekejangan otot. Individu juga boleh terkena sawan, pitam dan mengalami kekeliruan sebagai petanda awal mereka menghidap strok haba. Jika ini berlaku, rawatan awal perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang komplikasi kepada tubuh badan mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan