ANTARA isu yang sekian lama diperkatakan
semasa khatib berkhutbah Jumaat adalah perbuatan jemaah terutama anak-anak
remaja yang membuat bising dan bercakap-cakap. Walhal para jemaah telah
diingatkan tentang kepentingan memberi perhatian kepada isi kandungan khutbah
dan jangan berkata-kata.
Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang
bermaksud: “Apabila kamu berkata ‘diam’ kepada sahabat kamu pada hari Jumaat
ketika imam membaca khutbah maka sia-sialah Jumaat kamu.” (Riwayat Bukhari dan
Muslim)
Sayangnya ramai yang tidak mengendahkan hadis
tersebut walaupun kesannya amat besar iaitu hilang pahala solat Jumaat.
Maknanya, ibarat kita bekerja tanpa gaji.Hadis itu bertujuan mengingatkan para jemaah
memberi fokus kepada isi kandungan khutbah yang disampaikan oleh khatib dan
juga tidak mengganggu jemaah lain. Namun demikian, jemaah masih boleh menegur
anak-anak remaja yang berkata-kata semasa khutbah menggunakan bahasa isyarat
seperti meletakkan jari telunjuk di mulut.
Terkini, perbuatan mengutip wang atau derma
ketika khutbah turut dibahaskan sama ada termasuk dalam maksud ‘diam’. Sebabnya
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang menyapu (bermain-main)
batu kerikil (ketika Jumaat) maka hal itu sia-sia.” (Riwayat Muslim)
Menurut Imam Nawawi Rahimahullah: Dalam hadis
itu ada larangan bermain dengan batu dan selain daripada jenis itu kerana itu
adalah sebahagian daripada perbuatan sia-sia ketika khutbah (Jumaat). Di sini
terdapat isyarat agar ditujukan hati dan anggota badan semata-mata kepada
khutbah. (Rujuk al-Minhaj Syarh Sahih Muslim).
Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak
Wilayah Persekutuan pada 27 Februari 2017 memutuskan haram menggerakkan tabung
atau mengutip derma ketika khatib berkhutbah Jumaat.
Sememangnya solat Jumaat adalah antara peluang
terbaik untuk masjid-masjid menggerakkan tabung derma kerana bilangan jemaah
yang melimpah-ruah memenuhi segenap ruang dalam dan luar masjid. Ironinya, mahu
digerakkan tabung derma sebelum azan, masjid masih kosong. Kebanyakan jemaah
datang lewat dan ramai yang masuk selepas azan pertama dikumandangkan. Dengan
kata lain, jumlah sumbangan derma ketika itu tidak seberapa berbanding ketika
khatib berkhutbah.
Jabatan Mufti Negeri Selangor pula memberi
pandangan kutipan tabung Jumaat ketika khatib berkhutbah adalah diharuskan
dengan syarat berikut:
* Tidak menghalang para jemaah mendengar
khutbah Jumaat.
* Hasil kutipan adalah untuk maslahah masjid
seperti membayar bil elektrik, air dan penyelenggaraan.
* Tidak ada cara lain yang mudah untuk
mendapat infak daripada para jemaah yang mencukupi bagi memakmurkan masjid.
Kadang-kadang ada baiknya juga digerakkan
tabung derma semasa khutbah. Sebabnya dapat menyedarkan insan-insan yang
terlena kerana terlalu ‘khusyuk’ menghayati isi kandungan khutbah.
Oleh itu, ahli jawatankuasa masjid hendaklah
bijak memilih cara terbaik dalam perkara ini. Antara alternatifnya, gerakkan
tabung selepas solat Jumaat selain mengambil kira lokasi yang sesuai ketika
memungut derma untuk masjid. Khatib juga boleh menggalakkan derma kepada masjid
dan mendoakan kepada penderma pada akhir khutbahnya sebagai salah satu kempen
untuk menggalakkan amalan itu. Bagi menjayakannya, kita hendaklah datang awal
ke masjid untuk solat Jumaat.
Dalam bab ini. Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud: “Barang siapa yang mandi seperti mandi janabah (mandi daripada hadas
besar) pada hari Jumaat, kemudian ia pergi ke masjid pada waktu yang pertama,
maka pahalanya seperti pahala berkorban seekor unta. Siapa yang pergi ke masjid
pada waktu kedua, pahalanya seperti berkorban seekor lembu. Siapa yang pergi ke
masjid pada waktu yang ketiga, pahalanya seperti berkorban seekor kambing.
Siapa yang pergi ke masjid pada waktu yang keempat, pahalanya seperti pahala
berkorban seekor ayam. Siapa yang tiba di masjid pada waktu yang kelima,
pahalanya seperti berkorban sebiji telur. Apabila imam telah keluar, para
malaikat hadir untuk mendengar khutbah (dan tidak ada lagi yang mencatat
setelah itu).” (Riwayat Muslim).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan