Allah SWT telah melakukan suatu perjalanan mulia kepada Nabi Muhammad dari Mekah, Arab Saudi ke Baitulmaqdis, Palestin sebelum diangkat ke langit hingga Sidratulmuntaha dengan diiringi malaikat Jibril.
Seterusnya Baginda naik ke Mustawa seorang diri untuk menerima perintah penting iaitu solat.
Peristiwa yang berlaku 11 tahun selepas Baginda diangkat menjadi Rasul itu dirakamkan dalam surah al-Isra ayat 1 bermaksud:
“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam ke Masjidilaqsa, yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihat kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
Apa yang menakjubkan masyarakat Quraisy ketika itu ialah perjalanan mengambil dua bulan iaitu sebulan pergi dan sebulan balik tetapi berlaku pada satu malam.
Peristiwa agung ini menyimpan rahsia besar yang perlu diambil iktibar. Pengembaraan Israk dan Mikraj memberikan beberapa pengajaran yang menggambarkan balasan dosa-dosa dilakukan oleh umat Nabi Muhammad semasa hidup di dunia.
Demikian juga ditunjukkan ganjaran Allah bagi mereka yang berjihad, bersedekah dan melakukan amal soleh. Rasulullah juga dibawa melihat ke suatu lembah yang nyaman dan dingin, anginnya membawa bauan wangi harum semerbak kasturi, serta kedengaran suara riang gembira.
Apabila Baginda bertanya, Jibril a.s. lantas menjawab itulah suara syurga yang merayu memohon agar Allah membalas apa-apa dijanjikan. Walaupun mereka sedang menikmati perbagai nikmat syurga, namun tetap memohon nikmat lebih besar sebagai ganjaran kepada golongan beriman.
PENGHULU SEGALA RASUL
Menurut riwayat Anas Bin Malik, setelah Rasulullah SAW tiba di Baitulmaqdis dengan menaiki buraq, iaitu seekor binatang berwarna putih, Baginda masuk ke dalam Masjidilaqsa dan melakukan solat sunat dua rakaat.
Menurut Ibnu Mas’ud r.a, malaikat Jibril memimpin Baginda ke hadapan untuk menjadi imam solat bersama para Rasul. Ini merupakan petunjuk bahawa Nabi Muhammad datang membawa syariat dan secara tidak langsung menamatkan syariat terdahulu.
Sebelum Mikraj, Nabi Muhammad dipertemu dengan Nabi Adam a.s. yang diperkenal oleh Jibril sebagai bapa kepada seluruh umat manusia. Ini memberi pengajaran kepada kita bahawa apabila bermusafir, perlulah lebih dahulu menemui ibu bapa atau ahli keluarga lebih tua untuk memohon restu mereka.
Menurut nukilan daripada Tafsir al-Maraghiy, peristiwa ini menunjukkan bahawa walaupun berlainan keturunan dan zaman, semua rasul bersatu di sisi Allah.
Peristiwa selanjutnya datang pula Jibril membawa dua jenis minuman, arak dan susu. Maka Nabi memilih susu. Malaikat Jibril menyatakan bahawa Nabi telah memilih fitrahnya dan susu juga melambangkan kesucian.
Kemuncak daripada peristiwa Israk dan Mikraj, Allah memfardukan solat 50 waktu sehari semalam. Tetapi dalam perjalanan pulang, Baginda bertemu lagi dengan Nabi Musa a.s. yang mengusulkan agar baginda mohon keringanan Allah kerana perintah itu berat bagi umat Muhammad.
Setelah rayuan dibuat akhirnya Allah memperkenan hanya lima waktu sahaja,tetapi ganjarannya sama dengan 50 waktu. Dalam pelaksanaan solat, badan, fikiran dan perhatian serta lafaz yang telah ditentukan ditujukan khusus kepada Allah semata-mata.
Kerana solat adalah ibadat utama yang diibaratkan seperti tiang dalam sesebuah bangunan. Hadis daripada Umar al-Khattab r.a. bahawa Rasulullah bersabda:
“Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya bermakna maka dia mendirikan agama, sebaliknya mereka yang meninggalkannya seolah-olah meruntuhkan agama.” - Riwayat Baihaqi
BAYANGKAN ketika sedang berbual di kedai kopi, datang seorang rakan kita memberitahu dia baru pulang dari Mekah. Dia juga mengakui bertolak ke Tanah Suci itu pada malam tadi dan selamat pulang pada malam yang sama.
Apakah reaksi kita? Pastinya akan menganggap rakan itu hilang akal. Masakan tidak, perjalanan yang lazimnya mengambil masa lebih lapan jam satu hala itu dapat ditempuhi pergi dan balik pada satu malam.
Namun, itulah antara analogi peristiwa yang menguji keimanan para sahabat ketika Rasulullah SAW menceritakan perjalanan baginda dalam peristiwa Israk dan Mikraj.
Anggota tubuh yang paling tinggi dan berharga secara simboliknya ialah kepala. Dengan sebab itu ramai orang berani mempertaruh nyawa, merasa begitu sukar jika kepalanya dipermain orang.
Tetapi lain halnya ketika di hadapan Allah. Dengan penuh kesedaran, kepala rela direndahkan di tempat paling bawah sejajar dengan tempat berpijak.
Selepas peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah bertambah gigih menjalankan dakwah, walaupun menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran dari pada musuh. Baginda tetap tabah ibarat membujur lalu melintang patah untuk berdakwah ke seluruh Semenanjung Tanah Arab.
Ini memberi iktibar kepada kita dalam melaksanakan kerja kebajikan mestilah dengan semangat juang yang tinggi dedikasi dan tanggungjawab, sedia menghadapi apa jua cabaran.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/agama/peristiwa-yang-menguji-keimanan-1.474130#ixzz4fQgbtEGi
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan