Khamis, 27 April 2017

Al-Quran bukan kitab nujum!

SAYA agak terkejut dengan mesej diterima dalam aplikasi WhatsApp. Mesej tersebut cuba mengira tarikh, angka, nombor ayat dan tahun sebagai suatu petanda tentang pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong XV.

Mesej tersebut perlu dibendung kerana ia sudah memesongkan maksud sebenar al-Quran. Kelihatan al-Quran bukan lagi kitab hidayah yang membimbing manusia kepada jalan kebenaran, sebaliknya membawa manusia kepada budaya ‘bernujum dengan angka”
Ternyata sebelum ini, cubaan bernujum dengan ayat al-Quran pernah berlaku dalam peristiwa MH 370. Orang yang bernujum itu cuba mengaitkan peristiwa kehilangan pesawat itu dengan beberapa ayat dalam Surah Yasin. Sudahnya, ia tidak membawa apa-apa yang mampu meningkatkan iman.

“Dan mereka yang kafir berkata: “(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak. Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya!
“Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap, kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak,” (Surah Maryam: 88 - 91).

Sebelum itu ada cubaan mengaitkan peristiwa 11 September 2001 dengan ayat Surah al-Taubah berkaitan musnahnya bangunan masjid yang dibina orang munafik Madinah:
“Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar takwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik, atau orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia dengan yang membangunkannya ke dalam api neraka? Dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim,” (al-Taubah [9:109])

Pihak yang mengaitkan ayat ini dengan peristiwa 11 September 2001 kononnya mengatakan ayat ini yang bernombor ‘109’ merujuk kepada bangunan WTC itu memiliki ‘109’ aras. Surah al-Taubah pula surah ‘kesembilan’ sesuai dengan bulan September sebagai bulan kesembilan, manakala ayat ini pula berada dalam juzuk 11 dikaitkan dengan tarikh 11 hari bulan.

Ramalan ini sangat karut kerana mereka memesongkan makna asal ayat ini.
Terbaru dikaitkan pula Yang di-Pertuan Agong XV yang memakai gelaran Sultan Muhammad V dengan usia baginda ketika ditabalkan. Menurut peramal, baginda berusia 47 tahun ketika ditabalkan dan surah ke-47 dalam al-Quran juga dinamakan Surah Muhammad. Bagi saya, jika mahu dikira, usia Seri Paduka perlu dihitung mengikut tahun Hijrah kerana ia lebih tepat dengan roh agama atau al-Quran. Dan pastinya jika ia dikira dalam perkiraan hijri, Seri Paduka sudah berusia lebih 47 tahun.
Perkara ini perlu dibendung kerana jika dibiarkan, tidak mustahil suatu hari nanti al-Quran menjadi bahan mencari nombor ekor oleh penggila judi kaki ekor.

DALIL AL-QURAN, HADIS

Seolah-olah rahsia Allah mampu diceroboh oleh penggodam sistem hanya berpandukan tahi lalat, tarikh lahir, usia dalam perkiraan masihi dan sebagainya. Sedangkan perkara ini ditegah dengan jelas oleh banyak ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW, antaranya:

1. “Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!” Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati),” (al-Naml[27:65]).
Ketika menjelaskan ayat ini Aishah r.a. berkata:
“Sesiapa menyangka bahawa (Rasulullah SAW) mampu memberitahu apa yang akan berlaku pada keesokan harinya, “maka dia telah berbuat pendustaan yang sangat besar atas nama Allah.” Aisyah RA kemudiannya membaca ayat 65 surah al-Naml (Sahih Muslim).

2. Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berjumpa dengan tukang nujum (orang yang mendakwa tahu sesuatu perkara) lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu perkara, tidak akan diterima (tiada pahala) solatnya selama 40 malam,” (Sahih Muslim).

3. Usahkan peramal yang pandai mengira indeks nombor surah al-Quran, Baginda sebagai Rasul yang menerima wahyu al-Quran sendiri pun tidak mengetahui yang ghaib melainkan setelah diwahyukan Allah. Banyak firman Allah menyokong prinsip ini:
“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang yang beriman,” (al-A’raf[7:188]).

4. Usahkan si bomoh, para rasul yang saban hari didampingi Jibril a.s.pun tidak mengetahui perkara ghaib kecuali setelah ia didedahkan Allah dengan tujuan tertentu. Firman Allah:
“Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuinya itu kepada sesiapapun, - melainkan kepada mana-mana rasul yang diredai-Nya (untuk mengetahui sebahagian daripada perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang rasul itu malaikat yang menjaga dan mengawasinya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan),” (al-jinn [72:26-27]).

Kembalilah kepada al-Quran dan al-Sunah supaya kita tahu mana batasan yang boleh dan tidak boleh diceroboh manusia. Jangan sampai kita dibodohkan oleh bomoh yang mencari untung atas kejahilan manusia tentang hakikat agama.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan