“JIKA mahu minum arak syurga, sabarlah
sekejap di dunia dengan menjauhi arak dunia.”
Arak memang haram untuk umat Islam.
Nasnya jelas dalam al-Quran dan ia melalui empat peringkat pengharaman iaitu:
1. al-Nahl [16:67],
2. al-Baqarah [2:219]
3. al-Nisa’[4:43]
4. Muktamad pengharamannya pada
surah al-Ma’idah [5:90-91]).
Bukan setakat haram, ia digelar ‘air
kencing syaitan’ oleh orang Melayu yang jijik dengannya. Barangkali orang
Melayu menggelarkannya sedemikian kerana Allah sendiri menyifatkannya sebagai
perbuatan atau minuman asasi syaitan.
“Wahai orang yang beriman! Bahawa
sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan
batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan
syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya,” (al-Ma’idah
[5:90]).
UJIAN ALLAH KEPADA MANUSIA
Arak adalah ujian Allah kepada manusia
di dunia. Ia memudaratkan badan, merosakkan akal dan meminumnya tergolong dalam
dosa besar. Peminumnya tidak dapat mencium bau syurga sebagaimana sabda
Rasulullah:
“Sesiapa yang minum arak di dunia
kemudian (mati) tidak bertaubat daripada dosa itu, diharamkan meminumnya di
akhirat” - Sahih Bukhari dan Muslim.
Hadis di atas ayatnya masih berlapik.
Bahasa mudah adalah: peminum arak yang mati tanpa taubat tidak berpeluang masuk
syurga kerana arak adalah minuman syurga (Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari).
Jika ia haram di dunia, mengapa pula
hukumnya berpusing 360 darjah menjadi halal di akhirat sehingga menjadi antara
minuman syurga?
Itulah bukti betapa mutlaknya kuasa
Allah. Dia mampu dan berhak melakukan apa sahaja.
Pun begitu, hikmahnya tetap ada kerana
Allah adalah Yang Maha Bijaksana. Antara hikmah yang mudah difahami adalah arak
sangat berbahaya untuk akal dan jasad. Penagih arak sukar melepaskan diri
daripada ‘kerasukan arak’ yang dihidapinya.
KELAZATAN ARAK SYURGA
Lain pula sifat arak syurga. Ia putih,
bersih, lazat, sihat dan menjadi lambang keredaan Allah kepada ahli syurga yang
sangat patuh kepada arahan-Nya semasa di dunia.
Firman Allah: “Diedarkan kepada mereka
piala yang berisi ‘arak’ (yang diambil) dari sungainya yang mengalir, minuman
itu putih bersih, lagi lazat rasanya, bagi orang-orang yang meminumnya, ia
tidak mengandungi sesuatu yang membahayakan dan tidak pula mereka mabuk kerana
menikmatinya,” (al-Saffat [37:45-47]).
Juga firman Allah: “Mereka dilayani
anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa
beredar di sekitar mereka, - Dengan membawa piala minuman dan teko serta piala
atau gelas yang berisi ‘arak’ (yang diambil) dari sungainya yang mengalir.
Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab
menikmatinya,” (al-Waqi’ah [56:17-19]).
Arak ‘putih’ yang asli lagi sedap ini
dicedok dari sungai arak syurga yang tidak terbanding lazatnya:
“Sifat syurga yang telah dijanjikan
kepada orang yang bertakwa (ialah seperti berikut): ada padanya beberapa sungai
daripada air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai daripada
susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa ‘sungai daripada arak yang
lazat bagi orang yang meminumnya’ dan juga beberapa sungai daripada madu yang
suci bersih. Dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta
keredaan daripada Tuhan mereka…,” (Muhammad[47:15]).
Dalam ayat lain Allah menyebut arak
syurga sangat istimewa kerana penutupnya ditutup rapi dengan haruman kasturi:
“Mereka diberi minum daripada satu
minuman (arak) yang termeterai bekasnya, (bahan) salutannya daripada
kasturi.Dan untuk (memperoleh nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba
mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan,” (al-Mutaffifin
[83:25-26]).
Tertutup rapi kerana ia belum pernah
dibuka sesiapa pun. Ini menunjukkan arak syurga adalah barang baharu yang bukan
‘second hand’ kerana Allah tahu manusia tidak suka barangan terpakai. Bau
penutup botolnya yang semerbak kasturi mampu membangkitkan selera ahli syurga.
Maha Suci Allah! Selera orang beriman
seharusnya terbuka luas untuk merebut minuman ini. Bagaimana caranya? Ia
berlaku secara bertentangan. Tahanlah diri anda daripada melakukan yang haram,
Insya-Allah peluang kita terbuka luas mendapat nikmat ini di akhirat kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan